MBPJ Perkenalkan Garis Panduan Pusat Rawatan Estetik: Langkah Progresif Memperkukuh Tadbir Urus Industri Kecantikan

Petaling Jaya – National Board of Beauty (NBOB) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) atas inisiatif memperkenalkan Garis Panduan Aktiviti Perniagaan Baharu serta penambahbaikan syarat pelesenan yang dijangka memperkukuhkan ekosistem perniagaan di Petaling Jaya, khususnya bagi sektor pusat rawatan estetik.

Inisiatif ini merupakan hasil susulan daripada Bengkel Pengukuhan Pelesenan MBPJ, yang menjadi platform penting dalam merangka dasar pelesenan yang lebih jelas, komprehensif dan praktikal. Proses penggubalan garis panduan ini dilaksanakan melalui sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan dengan kerjasama jabatan-jabatan teknikal, unit undang-undang serta pasukan pelesenan MBPJ.

Objektif utama penyediaan garis panduan tersebut adalah untuk memastikan pusat-pusat rawatan estetik beroperasi mengikut piawaian yang ditetapkan, di samping melindungi kepentingan industri, meningkatkan tahap pematuhan terhadap keperluan pelesenan serta memperkukuhkan keselamatan dan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.

NBOB turut merakamkan penghargaan kepada MBPJ atas jemputan yang diberikan untuk menyertai sesi libat urus berhubung penyediaan Garis Panduan Pusat Rawatan Estetik. Penglibatan ini mencerminkan komitmen MBPJ dalam mengamalkan pendekatan inklusif dengan mendapatkan pandangan daripada pihak industri sebelum sesuatu dasar dimuktamadkan.

Penghargaan khas turut dizahirkan kepada Ahli Majlis MBPJ, Cik Quratulain Atiqah binti Norzahirul Anuar, atas komitmen dan kepimpinan beliau dalam menerajui inisiatif penggubalan garis panduan tersebut. Kesungguhan beliau dalam mengetengahkan keperluan kepada satu garis panduan yang lebih tersusun bagi sektor pusat rawatan estetik, serta usaha menggalakkan penyertaan pelbagai pihak berkepentingan sepanjang proses libat urus, telah menyumbang kepada pembangunan dasar yang lebih menyeluruh, praktikal dan seimbang.

NBOB percaya bahawa usaha yang dilaksanakan oleh MBPJ ini merupakan satu langkah proaktif ke arah mewujudkan sistem pelesenan yang lebih tersusun, telus dan responsif. Pelaksanaan garis panduan yang komprehensif bukan sahaja akan membantu pengusaha memahami keperluan pematuhan dengan lebih jelas, malah turut meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kualiti dan keselamatan perkhidmatan estetik yang disediakan.

Sebagai sebuah organisasi yang komited terhadap pembangunan industri kecantikan negara, NBOB sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan kementerian, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta pemain industri dalam memperkukuhkan tadbir urus sektor kecantikan. Kerjasama strategik ini penting bagi meningkatkan standard profesionalisme, memperkasakan pematuhan terhadap peraturan, menggalakkan amalan terbaik industri serta memastikan aspek keselamatan pengguna dan kualiti perkhidmatan sentiasa menjadi keutamaan.

NBOB berharap inisiatif yang diterajui oleh MBPJ ini akan menjadi penanda aras kepada pihak berkuasa tempatan lain dalam membangunkan dasar dan garis panduan yang lebih sistematik bagi industri kecantikan. Pendekatan ini diyakini mampu menyumbang kepada pembangunan industri estetik yang lebih selamat, beretika, profesional dan mampan demi manfaat pengusaha, pengguna serta negara secara keseluruhannya.

Tahniah kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya serta semua pihak yang telah menjayakan inisiatif ini. Semoga usaha murni ini terus menjadi pemangkin kepada pembangunan industri kecantikan Malaysia yang lebih berkualiti, berintegriti dan diyakini masyarakat.

Pautan: https://www.facebook.com/share/p/19A6DrXxbU/