Majlis pelancaran Security QR Code untuk produk kecantikan telah diadakan dengan penuh gilang-gemilang pada 30 Mei 2024 bertempat di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan ketelusan dalam industri kecantikan, serta memberikan keyakinan tambahan kepada pengguna terhadap produk yang mereka beli.
Kaedah yang diperkenalkan ini membolehkan pengguna mengimbas kod menggunakan telefon pintar mereka untuk mengesahkan keaslian produk kecantikan tersebut sebelum membelinya. Melalui imbasan ini, pengguna dapat memperoleh maklumat terperinci tentang produk termasuk tarikh pembuatan, tarikh luput, kandungan bahan, serta pengesahan bahawa produk tersebut telah memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Majlis pelancaran ini telah dihadiri oleh pelbagai pihak berkepentingan dalam industri kecantikan termasuk wakil-wakil dari agensi kerajaan seperti Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan DAlam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Majlis Rekabentuk Malaysia, syarikat-syarikat kecantikan pemilik produk seperti MR Cosmetics, SimplySiti, Aurawhite serta persatuan-persatuan yang berkaitan.
Majlis pelancaran ini dirasmikan oleh Pengerusi National Board of Beauty, Puan Sri Dato’ Hajah Rositah Haji Md Mawi yang turut disertai oleh para tetamu jemputan serta syarikat-syarikat gergasi produk kecantikan seperti Loreal Malaysia, Nekderx, Star Brandasia, Henkel Malaysia, Panarix, dan O’care.
Pelancaran pelekat Kod QR keselamatan ini merupakan satu langkah penting dalam usaha memperkasa industri kecantikan tempatan, sekaligus membina kepercayaan dan keyakinan pengguna terhadap produk kecantikan yang mereka gunakan.









