Program Kongsi Rezeki FREE MARKET Komuniti PPR Pudu Ulu – “Malaysia MADANI – Rakyat Disantuni”

KUALA LUMPUR, 9 Sep – Program Kongsi Rezeki FREE MARKET Komuniti PPR Pudu Ulu yang dianjurkan oleh Wanita Cabang Cheras bersama Pertubuhan National Board of Beauty (NBOB) dan Persatuan Kebajikan Komuniti PPR Pudu Ulu telah berlangsung dengan penuh meriah pada 6 September lalu dari jam 10.00 pagi hingga 1.30 tengah hari di Dataran Blok B, PPR Ulu Pudu, Cheras.

Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada komuniti setempat untuk membawa pulang barangan keperluan secara percuma, tetapi juga mengeratkan ukhuwah antara warga setempat dengan semangat kebersamaan yang tinggi.

Program ini dirasmikan oleh YBrs. Tuan Haji Mohamad Raimi Ab Rahim, Ketua Cabang KEADILAN Cheras, yangn turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Wanita Pusat, YBhg. Puan Juwairiya Zulkifli, YBrs. Puan Jamilah, Ketua Wanita Cabang Lembah Pantai yang juga Ketua Wanita Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan YBrs. Saudara Andre Lai, Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju yang turut bersama-sama hadir meraikan komuniti dan masyarakat setempat.

Objektif program ini ialah untuk membantu meringankan beban warga bandar, memupuk budaya memberi dan berkongsi, serta memperkukuh semangat perpaduan dalam komuniti, khususnya di PPR Pudu Ulu.

Selain memberi peluang kepada penduduk untuk mendapatkan barangan keperluan secara percuma, program ini turut menyediakan tapak niaga untuk usahawan komuniti. Usahawan tempatan diberi ruang untuk membuka gerai dan menjual produk mereka, sekali gus menyokong ekonomi komuniti setempat.

Inisiatif ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada penduduk, tetapi juga memberi platform kepada usahawan untuk berkembang dan memperkenalkan produk mereka kepada masyarakat lebih luas. Selain itu, pertandingan pakaian beragam yang melibatkan 20 orang kanak-kanak berusia 4 sehingga 12 tahun turut menambahkan kemeriahan acara dan memberi semangat serta inspirasi kepada para peserta.

Menurut Ketua Wanita Cabang Cheras, Puan Yap Kuay Hua, “Program seperti ini bukan sahaja memberi bantuan dalam bentuk barangan, tetapi ia adalah simbol perpaduan dan sokongan kita terhadap mereka yang memerlukan.

”Kehadiran komuniti yang pelbagai bangsa dan umur hari ini membuktikan bahawa kebersamaan adalah asas dalam memperkukuh masyarakat kita. Kami di Wanita Cabang Cheras berharap program ini akan menjadi platform untuk lebih banyak kerjasama dan penglibatan masyarakat dalam usaha meningkatkan kualiti hidup bersama,” katanya.

Kehadiran masyarakat pelbagai lapisan usia dan kaum memberikan gambaran indah semangat kebersamaan dalam masyarakat Malaysia.

Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan padu serta sumbangan, baik secara langsung mahupun tidak langsung, termasuklah para sukarelawan dan peniaga yang telah menyumbangkan barangan berkualiti kepada acara ini.

Wanita KEADILAN Cabang Cheras berharap acara seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih ramai pihak, kerana kita semua berperanan dalam membangunkan komuniti yang lebih penyayang, prihatin, dan berdaya maju.

Salam Sejahtera & Salam Madani.

Sumber: https://harapanmadani.com/program-kongsi-rezeki-free-market-komuniti-ppr-pudu-ulu-malaysia-madani-rakyat-disantuni/