Forum Industri Kecantikan “The Insights & Future of Beauty Industri 1.0”

 Forum Industri Kecantikan bertemakan “The Insights & Future of Beauty Industry 1.0” anjuran National Board of Beauty (NBOB) telah berlangsung selama dua hari bermula 26 hingga 27 September 2022 di Central Piazza, KL Gateway.

 Forum ini menampilkan panel-panel yang berwibawa dan berpengalaman luas dalam bidang masing-masing di industri kecantikan. Antara agensi kerajaan yang terlibat termasuk Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (Medical Device Authority-MDA), Bahagian Regulatori Farmasi Negara (National Pharmaceutical Regulatory Agency – NPRA), SIRIM Berhad, dan Halal Development Corporation Berhad (HDC). Selain itu, turut serta pertubuhan-pertubuhan berkaitan seperti Malaysia Association of Wellness Trainers (MAWT), MAMACARE, dan PAPACARE. 

 NBOB juga telah menjemput wakil-wakil industri kecantikan seperti Datin Norlisa Lee (Estetik), Sister Kay McNaught (Medical Tourism), Dr. Aiesha Asmadi (Medical Fitness), Dr. Jeff Khoo (Estetik), dan Encik Chua (Rambut). Turut serta adalah daripada syarikat-syarikat industri kecantikan, pemilik perniagaan berkaitan, pelajar universiti, kolej, dan juga orang awam.

 Objektif utama forum ini adalah untuk bertindak sebagai platform kerjasama antara agensi kerajaan dan syarikat-syarikat dalam industri kecantikan. Ia juga bertujuan membantu perancangan bagi meningkatkan dan memperkasakan industri kecantikan di Malaysia pada masa hadapan. Forum ini menyediakan peluang untuk membincangkan isu dan cabaran terkini dalam industri serta memastikan penyebaran maklumat yang tepat kepada masyarakat. 

 Majlis perasmian penutup forum ini telah disempurnakan oleh YB Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, Ahli Parlimen Lembah Pantai.